OLEH SAMANTHA CHANG AND SHARYL PRIYANGKA 

Apabila media sosial diperkenalkan kepada dunia, kita mengalu-alukannya kerana ia merupakan sesuatu yang inovatif dan baru. Media sosial menjadi platform untuk kita berinteraksi dengan rakan-rakan, melihat video, dan meme yang lucu. Tiada apa-apa yang salah, kan?

Tapi, para penyelidik telah mendapati bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan dikaitkan dengan kemurungan, keresahan, keyakinan diri yang rendah, gangguan tidur, dan penurunan prestasi akademik. 

Ini kerana media sosial biasanya hanya menunjukkan segi-segi hidup terbaik setiap orang, yang membuatkan kita membandingkan diri kita secara negatif dengan orang lain, dan takut bahawa kita akan kehilangan pengalaman hidup yang terkini (fenomena yang kini dikenali sebagai “#FOMO”, atau “fear of missing out”). Ia juga boleh mendedahkan kita kepada budaya negatif seperti perbuatan troll atau pembuli siber.

Lebih ramai orang mula menyedari bahawa media sosial, jika penggunaannya tidak dikawal, boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesejahteraan hidup kita. 

Menurut laporan oleh We Are Social, lebih ramai pengguna media sosial sekarang menginginkan kandungan yang memberi impak positif kepada diri kita.  Sebagai contoh, Instagram telah mengeluarkan ciri baru, iaitu “Close Friends”, yang membolehkan pengguna memilih orang tertentu untuk melihat apa yang dimuat naik.

Walaupun ciri-ciri baru ini berguna, kita boleh mengambil beberapa langkah untuk membuat laman media sosial kita lebih bermanfaat. Berikut adalah beberapa idea yang akan membantu anda melakukannya.

  1. Berehat 

Tip pertama ini adalah sangat penting untuk memberi diri kita sedikit masa untuk berehat tanpa melayari sebarang media sosial. Satu kajian mendapati bahawa peserta yang mengehadkan penggunaan media sosial mereka kepada 10 minit sehari selama tiga minggu melaporkan pengurangan tahap kemurungan dan kesepian mereka, berbanding dengan mereka yang menggunakannya seperti biasa.

Anda boleh menyahpasang aplikasi media sosial pada telefon anda sama sekali, atau mengehadkan masa anda dengan menggunakan aplikasi seperti ‘Forest’ . Jika anda menggunakan media sosial di komputer anda, muat turun Sambungan Google seperti ‘StayFocusd’ untuk menyekat mana-mana laman web yang anda mahukan.

  1. Gunakan Media Sosial dengan Kesedaran 

Laman media sosial kita mendedahkan kita kepada amat banyak maklumat secara berterusan. Ini menimbulkan kesukaran untuk kita bersifat peka ataupun sedar dalam hidup seharian kita. Ini boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan kita.

Berikut adalah beberapa amalan yang boleh dilakukan supaya anda sentiasa peka dengan aktiviti anda di media sosial:

Berhati-hati dengan siapa yang anda ikuti.

Akaun siapa yang membuat anda berasa marah dan sinis tentang dunia? Yang membuat anda rasa tidak selamat atau iri hati? Luangkan masa untuk melihat senarai orang/akaun yang anda mengikuti, dan perhatikan perasaan anda terhadap setiap akaun, sama ada ia platform berita, “influencer”, atau rakan. Tinggalkan atau “unfollow” akaun yang bersifat negatif, supaya anda ada lebih ruang dan masa untuk akaun yang positif.

Tetapkan niat anda

Sebelum anda klik secara automatik pada sesuatu aplikasi, tanya diri anda: mengapa anda ingin membuka aplikasi ini, dan bagaimanakah saya akan respon pada hantaran yang saya lihat?

Ini akan membolehkan anda mengenali bila anda hanya memakai media sosial untuk membuang masa dan mengelakkan emosi negatif diri sendiri, dan bila anda menggunakan media sosial untuk berinteraksi secara positif.

Perhatikan pemikiran anda

Apabila anda membaca atau melihat hantaran yang keluar di feed anda, peka dengan perasaan yang bermain di fikiran anda. Adakah anda mencipta cerita sendiri di sebalik apa yang anda lihat? Adakah anda menilai seseorang itu secara negatif berdasarkan cerita rekaan tersebut? Ataupun adakah cerita tersebut merendahkan keyakinan diri anda?

Tanyalah diri anda apakah perasaan yang tertimbul, dan mengapa anda merasa begitu. Walaupun ia perasaan yang negatif, jangan melawannya. Cuba bersabar dan fikirkan mengapa perasaan itu tertimbul dengan hantaran tertentu.

  1. Ketahui cara menangani komen negatif

Memuat naik pemikiran, gambar atau hasil ciptaan anda boleh meresahkan anda kerana mesti ada seseorang yang akan menilai atau meninggalkan komen negatif.

Sama ada mereka sengaja ingin menyakiti anda ataupun mereka hanya tidak bersetuju dengan anda, ada cara untuk menghadapi situasi ini dengan tenang dan bijak:

Cuba untuk tidak mengambil komen negatif secara peribadi

Kebanyakan masa, komen negatif lebih mencerminkan sikap orang yang meninggalkannya, bukan orang yang menerimanya. Anda mungkin berasa buruk tentang diri anda, tetapi ingat bahawa mereka bercakap berdasarkan perasaan, kepercayaan, dan pandangan dunia mereka sendiri.

Bawa bertenang, tarik nafas, dan berfikir sebelum membalas. Tanya diri anda jika apa yang mereka katakan adalah benar. Sekiranya komen memberikan kritikan yang sah, anda mungkin dapat mempelajari sesuatu yang baru.

Tapi jika orang yang memberi komen itu hanya ingin memberi kutukan secara tidak adil dan sikap yang negatif, anda tidak perlu memperdulikannya.

Menjawab dengan menggunakan fakta

Balas dengan pendapat yang logik (berdasarkan fakta), dan balas dengan penuh kesopanan dan kesabaran. Anda tidak akan menukarkan pemikiran mereka dengan respon yang marah atau menyakitkan hati, jadi jangan terlalu beremosi.

Jika mereka masih enggan menerima pendapat anda, tak ada masalahnya. Anda telah memberi penjelasan anda dengan ikhlas, dan itu yang terbaik boleh anda lakukan.

Perhatikan komen positif

Ia sangat mudah untuk kita fokus pada komen negatif dan melupakan semua rakan yang menyokong anda. Bukan semua orang akan menyukai apa yang kita buat, sama ada di laman sosial atau dalam kehidupan — tak mengapa. Selagi anda yakin siaran anda memberi manfaat kepada anda dan pengikut anda, percayalah dalam diri anda

  1. Berlatih empati secara dalam talian

Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan komuniti dalam talian lebih positif. Ini beberapa cara untuk menjadi lebih ramah dan empati dalam talian:

Berhubung dengan niat baik 

Gunakan media sosial dengan niat untuk mendekati orang lain. Banyak orang mungkin lebih senang berkongsi tentang diri mereka di sebalik skrin, jadi anda boleh cuba berbual dengan lebih mendalam.

Beri sokongan dan komen yang positif kepada rakan media sosial anda. Sekiranya seseorang memuat naik sesuatu yang sedih, hubungi mereka dengan penuh perhatian dan empati. Biarkan mereka tahu anda sedia untuk mendengar jika mereka perlukan rakan untuk berbual.

Tanya sebelum muat naik

Sekiranya anda mempunyai gambar rakan-rakan anda yang ingin anda kongsikan, tanya pada mereka sebelum anda menyiarkannya. Kadang-kadang, anda mungkin memalukan mereka secara tidak sengaja atau berkongsi sesuatu yang peribadi, jadi sebaiknya tanya mereka terlebih dahulu.

Media sosial adalah alat yang menakjubkan, jika digunakan dengan betul. Kami harap tip kami dapat membantu anda! Beritahu kami jika anda mempunyai tips dan cara anda sendiri untuk menggunakan media sosial secara positif.